SKUAD remaja hoki negara bakal membuka tirai kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2025 menentang Austria pada Sabtu ini dengan misi membawa nama Malaysia ke pentas lebih tinggi sambil mempamerkan permulaan positif di Tamil Nadu, India dengan semangat juang yang kental untuk bermula dengan langkah kanan.

Malaysia diundi dalam kumpulan E yang mencabar bersama dua gergasi hoki dunia, Belanda, England serta Austria, namun cabaran itu tidak menggugat barisan muda negara malah menjadi pembakar semangat untuk mereka membuktikan kemampuan sebenar di pentas antarabangsa.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini menegaskan bahawa kejohanan kali ini adalah medan terbaik untuk para pemain menimba pengalaman berharga.

“Piala Dunia ini pentas yang baik untuk pasukan mendapat pengalaman dan untuk menjadi lebih bagus.”

“Sejauh mana tahap persediaan para pemain adalah mengikut pengalaman yang mereka ada,” ujar beliau yang menegaskan bahawa tahap persediaan pasukan bergantung rapat kepada pengalaman yang dibawa setiap pemain.

Young Tigers menjalani sesi pemanas badan terakhir di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai sebelum aksi pembukaan kejohanan.

Setiap pasukan akan bermain sekali menentang semua lawan dalam kumpulan masing-masing, dan hanya enam juara kumpulan serta dua naib juara terbaik akan mara ke suku akhir. Jerman, selaku juara bertahan, juga merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan dengan tujuh gelaran.

Edisi kali ini akan berlangsung di dua bandar utama di Tamil Nadu, iaitu Madurai dan Chennai, dengan penyertaan keseluruhan 24 pasukan dari seluruh dunia. Dalam saingan yang lebih besar dan kompetitif ini, Young Tigers bertekad memanfaatkan setiap peluang untuk menyerlah dan memberikan yang terbaik sepanjang kempen Piala Dunia Remaja Hoki 2025.

Pada edisi sebelum ini, Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-12 selepas tewas kepada New Zealand menerusi penentuan shootout.