Gandingan beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King muncul juara Masters Korea 2026 selepas menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dalam aksi final di Asan, hari ini.

Kai Wun-Roy King yang sedang melalui fasa pembentukan kombinasi baharu di bawah kendalian ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, tampil lebih konsisten untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-18 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama dua set.

Kejayaan itu cukup bermakna buat gandingan berkenaan apabila mereka menjadi pasangan beregu lelaki pertama di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menghadiahkan gelaran musim ini.

Ia juga membuktikan eksperimen Herry dalam menguji beberapa kombinasi baharu di pentas Jelajah Dunia mula membuahkan hasil, dengan Kai Wun-Roy King berjaya memanfaatkan peluang yang diberikan.

Sebelum ini, gelaran beregu lelaki Malaysia musim ini dimonopoli pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menerusi kejayaan mereka di Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Indonesia pada Jun.

Lebih istimewa, Kai Wun-Roy King turut mengulangi kejayaan Malaysia di Masters Korea selepas Wooi Yik bersama gandingan asalnya, Aaron Chia, muncul juara edisi 2024.

Dua kemenangan tersebut kini menjadi satu-satunya kejuaraan beregu lelaki Malaysia dalam sejarah Masters Korea sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan pada 2007.

Sebagai juara, Kai Wun-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai AS$19,750 (RM80,800), manakala Wei Chong-Wooi Yik menerima AS$9,500 (RM38,900) selaku naib juara.

Kemenangan di pentas Super 300 itu pastinya memberikan suntikan keyakinan kepada Kai Wun-Roy King selepas mereka antara pasangan yang diberi nafas baharu dalam rombakan BAM bagi membantu Herry mengenal pasti kombinasi terbaik untuk menghadapi saingan akan datang.