BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia memilih untuk turun tanpa tekanan pada Kejohanan Dunia di New Delhi bermula Isnin ini apabila tidak menetapkan sebarang sasaran khusus untuk kejohanan berkenaan.
Selepas melalui eksperimen gandingan dalam beberapa bulan lalu, Aaron kini kembali bergandingan dengan Soh Wooi Yik dan menganggap Kejohanan Dunia sebagai peluang untuk mendapatkan semula rentak permainan bersama pasangan yang sudah lama dikenalinya.
“Saya rasa semuanya okey kerana minggu ini kami menjalani latihan untuk mengasah semula permainan bersama. Saya dan Wooi Yik sudah lama bergandingan, jadi saya rasa tempoh beberapa bulan itu tidak memberi kesan besar,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.
Menurut Aaron, beliau juga tidak mahu terbeban dengan kedudukan undian atau memikirkan sejauh mana mereka mampu pergi dalam kejohanan yang berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos itu.
“Bagi saya, tiada sasaran untuk kali ini kerana beberapa bulan ini kami pun tidak melakukan yang terbaik. Yang penting adalah membuat persiapan untuk kelayakan Olimpik tahun depan,” katanya.
Aaron-Wooi Yik menerima bye pada pusingan pertama dan dijangka berdepan Jonathan Dresp-Simon Krach dari Jerman atau Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeratsakul dari Thailand pada pusingan kedua.
Kejohanan Dunia itu turut menjadi pentas penting buat Aaron-Wooi Yik untuk membina semula keserasian sebelum memberi tumpuan kepada kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang bermula tahun depan.