Kredit Gambar: MFL

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, melengkapkan musim cemerlangnya apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M Awards 2025-2026 buat kali pertama dalam kariernya.

Pengiktirafan itu menjadi kemuncak kepada perjalanan Afiq sepanjang musim 2025-26, apabila pengalaman serta ketenangannya di bahagian tengah membantu JDT merealisasikan misi meraih empat kejuaraan (Quadruple) buat kali keempat dalam saingan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Afiq sudah dua kali dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik pada edisi 2022 dan 2023. Musim ini, dia sekali lagi memenangi kategori berkenaan selepas mengatasi pencabar Danial Amier Norhisham dari Kuching City FC dan Nooa Laine dari Selangor FC.

Kejayaan merangkul MVP pula melengkapkan koleksi anugerah individu pemain berusia 32 tahun itu, yang terus membuktikan dirinya sebagai antara tonggak tengah tempatan paling konsisten dalam Liga Malaysia.

Afiq bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mengawal tempo permainan, malah turut menyumbang dari aspek kreativiti apabila merekodkan enam bantuan jaringan sepanjang musim 2025-26.

“Ini satu kejayaan yang bermakna untuk saya kali pertama meraih MVP. Trofi ini membuktikan kerja keras saya untuk pasukan, dan saya akan terus berusaha untuk memberikan keseimbangan dalam perlawanan-perlawanan akan datang selepas ini.

“Sudah tentu, dengan anugerah ini akan memberikan motivasi tambahan untuk saya lebih banyak menyumbang dan bantu rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Trofi MVP tersebut disampaikan Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Dato’ Seri Fahmi Fadzil, dengan diiringi Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan.

Secara keseluruhan, JDT menguasai tujuh kategori utama pada Liga M Awards 2025-2026, sekali gus mencerminkan dominasi kelab itu sepanjang musim lalu.