SEMUANYA bermula dengan sebuah e-mel daripada Motor Neurone Disease (MND) Malaysia. Di dalamnya, terselit kisah Khairul Nizam Bin Mohd Kolil, lelaki 42 tahun yang sedang berjuang menghadapi penyakit neurologi progresif ini. Sejak didiagnosis, penyakit tersebut perlahan-lahan merampas kekuatan fizikalnya, keupayaannya untuk bergerak, malah suaranya sendiri.
Namun di sebalik semua yang telah dirampas oleh penyakit itu, satu perkara yang tidak pernah luntur ialah kecintaan Khairul terhadap Chelsea Football Club. Sejak kecil lagi beliau menyokong pasukan kegemarannya itu, dan walaupun kini terlantar di kerusi roda dengan kedua tangan yang sukar digerakkan, semangatnya sebagai peminat bola sepak tetap membara seperti dahulu.
Bagi Khairul, dapat menyaksikan Chelsea beraksi secara bersemuka bukan sekadar satu keinginan biasa. Ia adalah sinar harapan yang menemaninya sepanjang perjuangan melawan penyakit ini. Menyedari betapa bermakna impian tersebut, ShekhinahPR bersama Motor Neurone Disease (MND) Malaysia dan TEG Sport mengambil keputusan untuk turun padang, merancang segala-galanya dari pengangkutan Selangor ke Stadium Sultan Ibrahim Johor, penginapan keluarga, sehingga tiket perlawanan untuk Khairul dan isterinya.
Hari yang dinanti-nantikan itu akhirnya tiba. Khairul berpeluang bertemu sendiri dengan pasukan Chelsea, sebuah detik yang selama ini hanya mampu dibayangkan menerusi skrin televisyen. Jersi kegemarannya ditandatangani oleh pemain-pemain idolanya, menjadikan hari itu sebagai salah satu detik paling berharga dalam hidupnya.

Detik penuh makna apabila João Pedro meluangkan masa bersama Khairul, merealisasikan impian yang telah lama dinanti-nantikan.
Sepanjang perjalanan emosional ini, Khairul tidak pernah bersendirian. Isterinya, Liyana Najlaa Binti Zainuddin, sentiasa berada di sisinya, menggenggam tangannya dari mula hingga ke akhir. Kehadiran isteri sebagai tunjang kekuatan turut menambah keharuan kisah ini, memperlihatkan bagaimana cinta dan sokongan keluarga mampu membawa seseorang melalui detik paling mencabar dalam hidup.

Impian Khairul untuk bertemu Robert Sánchez, pemain kegemarannya, akhirnya menjadi kenyataan.
Pada akhirnya, kisah Khairul bukan sekadar tentang bola sepak. Ia tentang semangat manusia yang tidak pernah padam walaupun diuji cabaran besar. Kerjasama ShekhinahPR, Motor Neurone Disease (MND) Malaysia dan TEG Sport dalam merealisasikan impian ini membuktikan bahawa kebaikan dan usaha bersama mampu mengubah sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan.