SKUAD boccia kebangsaan gagal mendapatkan slot secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024, selepas tersungkur di Kejohanan Kelayakan Paralimpik yang berlangsung di Coimbra, Portugal.

Saingan yang berlangsung selama seminggu dari 22 hingga 28 Mac telah menempatkan dua daripada lima atlet para Malaysia di kedudukan kedua sekali gus meraih pingat perak dalam acara yang dipertandingkan.

Gandingan utama itu, Abdul Razzaq Abdul Rahman dan Noor Askuzaimey Mat Salim telah tewas dengan atlet para dari Brazil pada pusingan akhir kelayakan, dan menyaksikan keputusan 3-4 yang berpihak kepada pasukan lawan tersebut.

Dua atlet para boccia meraih pingat perak dalam saingan Kelayakan Paralimpik Paris di Portugal.

Persatuan Boccia Malaysia yang menghantar seramai lima orang atlet negara ke Portugal dalam acara berpasukan campuran itu telah meletakkan harapan tinggi untuk mereka berjaya menempah slot ke Paris.

Namun, dengan kegagalan untuk membawa pulang pingat emas ke tanah air, ini bermakna bahawa skuad boccia negara di bawah kepimpinan Presiden Persatuan Boccia Malaysia, Siti Zaharah Abdul Khalid tidak layak ke temasya berprestij Paralimpik Paris yang akan bermula pada 28 Ogos 2024.

Untuk rekod, skuad boccia kebangsaan telah membuat penampilan sulung di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, dan wiranya Chew Wei Lun berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara dalam acara individu BC1.