PENYERANG remaja Manchester United, Alejandro Garnacho telah membandingkan gol kegemilangannya melalui tendangan overhead yang dinilai ‘lebih baik daripada Wayne Rooney’ dengan gol Cristiano Ronaldo, sementara rakan sepasukannya dari Manchester United kagum dan memuji aksi itu.
Garnacho telah memuat naik perbandingan gambar gol fantastiknya dalam kemenangan 3-0 menentang Everton pada Ahad dengan tendangan gol yang serupa dari idolanya, Ronaldo, lima tahun lalu.
Legenda Red Devils, Gary Neville, dengan serta-merta menyebut usaha pemain sayap Argentina itu sebagai gol overhead terbaik yang pernah dilihat termasuk gol pemenang Rooney untuk United menentang Manchester City pada tahun 2011.
Garnacho, 19, yang meraikan jaringan golnya dengan salut Siu gaya Ronaldo, berkata: “Sejujurnya saya tidak percaya saya berjaya menjaringkannya. Saya tidak melihat bagaimana saya menjaringkan gol, saya hanya mendengar sorakan penonton dan berkata, ‘Oh Tuhan’. Salah satu gol terbaik yang pernah saya jaringkan, saya sangat gembira.”
Dia kemudian berkongsi gambar golnya pada platform X dengan kapsyen ringkas “Boom” dan berkongsi gambar di Instagram untuk imej berganda golnya dan gol bekas hero United, Ronaldo.
Gol dari Ronaldo sebelum ini telah membantu Real Madrid menewaskan Juventus di suku akhir dalam perjalanan ke kejayaan Liga Juara-Juara pada tahun 2018.
Pengurus Erik ten Hag memberi respon terhadap gol versi Garnacho dengan berkata: “Ia mungkin gol terbaik musim ini, satu momen yang menakjubkan.”
Diogo Dalot di platform X menulis: “Bawa saya bersama anda ke Anugerah Puskas. Menakjubkan, Hermano!” Selain itu, bek tengah United, Lisandro Martinez yang menonton semasa pulih dari kecederaan turut menulis: “Tahniah Hermano, bangga dengan anda.”
Sementara itu, pakar Sky Sports, Neville, memuji: “Saya tidak pernah berada di stadium di mana saya melihat tendangan overhead sehebat itu. Dan saya ada di sana untuk Rooney menentang Man City.”
Peminat di media sosial menyifatkan gol Garnacho sebagai “saat paling hebat musim ini.” Penilaian lain termasuklah “kemasan yang ajaib”, “sensasi” dan “sangat luar biasa”.
Beberapa penonton juga menganggap musim perkembangan Garnacho menunjukkan betapa banyak yang dipelajarinya dari bekas penyerang United, Ronaldo.
Salah seorang berkata: “Itu adalah pengaruh Ron” dan seorang lagi menambah: “Mengikut jejak idolanya.” Seseorang yang lain menulis: “Sama seperti gol Ronaldo, ini akan kekal lama dalam hati lelaki.”
Gol tersebut telah membantu United meraih kemenangan 3-0, dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial turut menjaringkan gol dalam kemenangan yang selesa bagi Red Devils.
Namun, Ten Hag memberi amaran agar tidak menilai Garnacho mengikut standard Ronaldo terlalu cepat.
Pengurus Belanda itu berkata: “Jangan membandingkan. Untuk Garnacho melangkah ke arah itu, dia perlu bekerja dengan sangat keras. Anda perlu melakukannya secara konsisten dan sehingga kini dia belum melakukannya. Jika anda ingin menjadi seperti Rooney atau Ronaldo, anda perlu menjaringkan 20-25 gol setiap musim.”