BEKAS jurulatih kebangsaan B. Sathianathan berkata aksi perlawanan pertama menentang Turkmenistan pada Rabu bakal menjadi faktor penentu kepada kemampuan skuad kendalian Kim Pan-gon dalam peringkat kumpulan E Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023.
Sathia memberitahu bahawa pemilihan 23 pemain oleh Pan-gon adalah tepat berdasarkan taktikal yang diterapkan kepada setiap pemain setakat ini.
Malah Sathia berharap gol awal perlu dicari skuad kebangsaan serta memanfaatkan setiap peluang terhidang supaya pasukan lawan sentiasa berada dalam tekanan.
“Bergantung kepada perlawanan pertama dan sokongan pemain kepada pasukan kebangsaan.
“Saya lihat pemain sangat bersemangat dan bekerja keras bermain untuk pasukan, mesti ada sebab mengapa Kim Pan-gon memilih De Paula dan Sumareh dari sudut taktikal.
“Jika hendak bermain mudah, kita harus menjaringkan gol terlebih dahulu dan harus mengambil peluang yang ada untuk bermain dengan yakin, buat mereka berada dalam kesusahan, jika tidak kita berdepan kesukaran,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Bagaimanapun, Sathia menjelaskan benteng pertahanan negara kurang diuji dalam dua perlawanan persahabatan awal sekaligus ia menyukarkan untuk menilai kemampuan sebenar pemain dalam posisi tersebut.
Tambahnya, faktor kelajuan dan saiz fizikal pemain turut memberi cabaran getir buat pertahanan negara bagi mengekang asakan lawan.
“Corak perlawanan sebelum ini berintensiti tinggi, dengan hantaran tepat dan serangan pantas cuma pertahanan tidak diuji dengan baik.
“Saiz dan kelajuan pemain terutama dalam set pieces agak mencabar pasukan negara,” jelas Sathia.
Sementara itu, jurulatih berusia 64 tahun ini turut menyentuh mengenai prestasi skuad B-23 negara apabila mencatat keputusan hambar dalam saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Uzbekistan.
“Belajar dari kegagalan ini, adakan post-mortem teknikal untuk menilai sistem pembangunan bola sepak kita.
“Adakah apa yang kita lakukan sekian lama cara yang betul, setaraf seperti gergasi Korea, Jepun atau Vietnam?,” tambahnya.
Jurulatih kelahiran Perak ini pernah membawa Malaysia merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka 2007, naib juara Pestabola Merdeka 2008 selain membimbing skuad pilihan negara beraksi baik berdepan Chelsea meskipun tewas 0-2.