PENYANDANG juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma), kontinjen Terengganu melaungkan amaran awal untuk kekal mempertahankan kejuaraan dengan meletakkan sasaran 70 pingat emas sekaligus pada penganjuran temasya  Sukma 2022 di Kuala Lumpur September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah optimis bahawa kontinjen negeri ini mampu untuk melebihi sasaran yang diletakkan memandangkan momentum persedian pasukan kini berada di landasan yang terbaik.

Sukan berbasikal, judo, kapal layar dan kenu di antara sukan-sukan yang telah dikenal pasti sebagai ‘lubuk emas’ mampu untuk menyumbang punggutan pingat emas terbanyak mengikut jenis acara yang dipertandingkan sekaligus meneruskan legasi Terengganu selaku kuasa besar sukan tanah air.

“Untuk Sukma ini kita masih mengekalkan sebahagian besar muka-muka lama atau atlet-atlet senior yang sepatutnya beraksi pada Sukma Johor 2020 namun telah dibatalkan berikutan Covid-19.

Wan Sukairi (tengah) ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri & Temu Mesra Majlis Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Selasa.

“Senarai panjang nama atlet kontijen Terengganu telah didaftarkan kepada penganjur Sukma, namun senarai pendek iaitu senarai akhir atlet terpilih yang akan dipertaruhkan akan ditentukan sebelum Ogos nanti.

Begitu juga buat masa ini jenis jenis acara sukan dan jumlah acara sukan masih dalam perbincangan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat nanti,” ujar Wan Sukairi  yang ditemui Flash Sukan di Terengganu sewaktu Majlis Sambutan Aidilfitri & Temu Mesra Majlis Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Selasa.

Walaupun pada awalnya momentum persediaan kontinjen negeri ini ke Sukma Johor 2020 telah terencat berikutan pandemik Covid-19 yang menjadi isu global sehingga kini namun dengan perlaksanaan beberapa plan kontingensi oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) selaku pemegang taruh utama kini memperlihatkan hasil apabila beberapa atlet Sukma negeri ini melakar beberapa kejayaan di peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Untuk rekod, berbekalkan azimat ‘Win Back Mission’ pada edisi penganjuran terakhir di Sukma Perak 2018 Terengganu dinobatkan selaku juara keseluruhan setelah memungut 56 pingat emas, 51 pingat perak, 53 pingat gangsa menjadikan keseluruhan 160 pingat.

Pencapaian itu sekaligus telah memperbaiki rekod kontijen sejak 2012 setelah 3 edisi penganjuran sebelum itu gagal untuk mengekalkan status sebagai kuasa besar sukan tanah air.