SPEEDY Tigers menutup kempen jelajah persahabatan menentang Korea Selatan, dengan kemenangan selepas menewaskan pasukan di tangga kesembilan dunia itu 2-1.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Jingcheon, Incheon, skuad bimbingan A Arulselvaraj dan Korea Selatan mempamerkan aksi seimbang dan tiada gol terhasil pada suku pertama.

Memasuki suku kedua, skuad negara membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Najib Hassan pada minit ke-28, membolehkan Malaysia mendahului dengan satu gol sehingga rehat.

Bersambung separuh masa kedua, Korea Selatan bangkit memperkemas permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menjadikan kedudukan 1-1.

Tidak mahu pulang ke tanah air tanpa kemenangan, pemain negara mempamerkan semangat melawan dan kembali di depan pada penghujung suku ketiga.

Penyerang utama skuad remaja negara, Shamie Irfan Suhaimi membuktikan pemilihannya ke dalam skuad senior satu keputusan berbaloi apabila berjaya menewaskan penjaga gol Korea Selatan, membolehkan skuad negara mendahului 2-1.

ARTIKEL  BERKAITAN  : Speedy Tigers kian selesa struktur permainan baharu

Memasuki suku keempat perlawanan, Korea Selatan cuba menaikkan tempo perlawanan bagi mencari gol penyamaan, namun benteng pertahanan berjaya menyerap asakan dengan baik dan keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu membolehkan skuad negara beroleh kemenangan pertama dalam kempen siri jelajah persahabatan selepas dua seri dan satu tewas dalam tiga aksi sebelum ini.

Siri perlawanan persahabatan di Korea Selatan menjadi medan pemanas badan buat pemain-pemain negara yang melakukan persediaan menghadapi saingan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India pada 3 hingga 12 Ogos depan.