Skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers berpeluang mencipta sejarah apabila bakal berdepan Australia dalam aksi final Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32 malam ini, dengan misi menamatkan dominasi Kookaburras yang sekian lama menguasai kejohanan itu.

Malaysia kini memburu kejuaraan kedua selepas kejayaan sulung pada 2022 di bawah kendalian A. Arul Selvaraj, sekali gus berhasrat mengulangi pencapaian yang sebelum ini hanya berjaya dilakukan sekali dalam sejarah penyertaan negara.

Namun, cabaran kali ini bukan mudah apabila Australia hadir sebagai pasukan paling berjaya dalam kejohanan berkenaan dengan 10 gelaran daripada 15 penampilan di final. Kemenangan esok bakal membolehkan mereka menambah koleksi kejuaraan kepada 11 sejak memenangi edisi sulung pada 1983.

Rekod pertemuan di pentas final juga tidak memihak kepada Malaysia apabila tiga pertemuan terdahulu semuanya berakhir dengan kekalahan, termasuk keputusan 3-8 pada 2014. Lebih mencabar, skuad kendalian Brendon Carolan itu turut tewas 2-4 kepada Australia dalam perlawanan pusingan awal lima hari lalu.

Justeru, Carolan menuntut anak buahnya memperbaiki prestasi dan mengelakkan kesilapan yang memberi ruang kepada lawan untuk menguasai pertemuan terdahulu. Pengendali itu percaya Malaysia masih mempunyai peluang sekiranya pemain berpegang kepada struktur permainan yang dirancang.

“Kami perlu berada pada tahap terbaik dan tidak mengulangi kesilapan yang menyebabkan mereka menang 4-2 sebelum ini. Australia sebuah pasukan yang sangat mengagumkan, tetapi jika kami bermain mengikut struktur dengan baik, kami mampu mengimbangi mereka dan menghasilkan gol.

“Tidak dinafikan kami perlu beraksi jauh lebih baik berbanding pertemuan terakhir. Taruhannya lebih besar dalam final dan kami perlu mencari jalan untuk menyekat kekuatan mereka. Sasaran kami tetap sama, iaitu memenangi perlawanan,” katanya.

Penyerang utama negara, Faizal Saari pula yakin Speedy Tigers mampu memberikan tentangan lebih sengit selepas mempamerkan semangat juang tinggi ketika mengikat Pakistan 5-5 dalam aksi terdahulu, meskipun ketinggalan 2-4.

Pemain yang kini muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol itu turut memberikan penghargaan kepada rakan sepasukan atas usaha mereka bangkit dalam perlawanan berkenaan.

“Saya perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras di atas padang, terutama ketika menentang Pakistan. Kami ketinggalan 2-4 tetapi berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 5-5. Itulah karakter sebenar Speedy Tigers.

“Bagi saya, setiap kali mendapat peluang untuk menjaringkan gol, walaupun peluang itu kecil, saya akan cuba menyudahkannya. Perasaan dapat kembali ke final memang hebat, tetapi lebih bermakna jika kami mampu memenanginya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Australia, Mark Hager mengakui pertemuan dengan Malaysia sentiasa menghadirkan cabaran tersendiri kerana kekuatan dan kemahiran pemain negara mampu menjadikan perlawanan sukar dijangka.

“Mereka sebuah pasukan yang kuat dengan pemain-pemain berkualiti. Kami melihat sendiri kemampuan itu ketika pertemuan terakhir yang berakhir dengan kemenangan 4-2 buat kami, selain menyaksikan aksi Malaysia menentang Pakistan. Mereka pasukan yang hebat dan kami sangat menghormati Malaysia,” katanya.

Dengan kedudukan ranking dunia di tempat ke-13 berbanding Australia di tangga ketiga, Speedy Tigers kini mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan di hadapan penyokong sendiri dan memburu kejuaraan kedua dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Sultan Azlan Shah.