Select Page

Speedy Tigers sambar sentuhan pakar pukulan sudut penalti Australia

Speedy Tigers sambar sentuhan pakar pukulan sudut penalti Australia

KESATUAN Hoki Malaysia (KHM) serius dalam mempersiapkan skuad emas Sukan Asia Hangzhou apabila mendapatkan khidmat pakar sudut penalti dari Australia, Chris Ciriello.

Pengumuman mengenainya dibuat Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal yang yakin sentuhan magis Ciriello mampu menajamkan lagi pukulan sudut penalti yang jelas tumpul pada beberapa kejohanan lalu.

Menurutnya, pelantikan Ciriello itu dapat membantu meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Australia dalam usaha mengembangkan kemajuan skuad hoki negara.

“Hari ini nak maklumkan kita bawa Chris Ciriello untuk membantu menajamkan lagi pukulan sudut penalti. Dia akan berkerjasama dengan bekas pakar pukulan sudut penalti kita, coach Amin Rahim dan jurulatih yang lain.

“Malah dengan kehadiran Ciriello juga ia akan memudahkan kita untuk berurusan dengan Australia. Seperti kita tahu kita banyak hantar pasukan berlatih di sana berbanding Eropah sebab murah,” katanya.

Ciriello mempunyai rekod yang baik ketika bergelar pemain apabila berjaya menjaringkan 116 gol dalam 199 penampilan bersama Australia.

Malah beliau juga merupakan bekas pembantu jurulatih merangkap jurulatih analisis, skuad India dari tahun 2018 sehingga meletakkan jawatan pada 2021.

Chris Ciriello juga berpengalaman luas sebagai jurulatih di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, Ciriello mengakui beliau teruja untuk bersama pasukan kebangsaan dan akan menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan dalam membantu meningkatkan prestasi Speedy Tigers.

Berdasarkan pemerhatiannya, beliau melihat pasukan negara berpotensi untuk pergi lebih jauh bersandarkan prestasi terkini mereka ketika ini.

“Mereka (pemain Malaysia) ada potensi yang besar. Seperti kita lihat mereka laju cuma skuad itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga pakar sudut penalti.

“Saya lihat skuad negara bagus cuma mereka masih ada ruang untuk memperbaiki lagi prestasi mereka,” kata Ciriello.

Video Terkini

Loading...