PASUKAN Young Tigers terpaksa akur dengan kekuatan Great Britain apabila tumpas 1-4 dalam aksi keempat Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 malam tadi.

Anak buah Nor Saiful Zaini telah mencatat satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam dua aksi terakhir kempen ini namun Great Britain menjadi penghalang mereka.

Great Britain mendahului perlawanan pada minit ke-10 hasil pukulan sudut penalti Kaden Draysey sebelum Malaysia menyamkan kedudukan hasil gol padang Adam Asyraf pada minit ke-17.

Muhd Adam Asyraf menjaringkan satu-satunya gol buat Young Tigers dalam aksi menentang Great Britain

Namun, Great Britain bangkit semula dua minit kemudian apabila Jonny Sturch-Hibbit menjaringkan gol padang, disusuli dengan jaringan gol padang oleh Monty Neave empat minit sebelum tamat suku kedua.

Pasukan ranking ke-16 dunia itu menamatkan perlawanan dengan satu lagi gol padang oleh Jonny Sturch-Hibbit pada minit ke-39.

Menurut pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini berkata pasukan lawan berjaya memerangkap Malaysia dengan gerakan pantas dan menghukum mereka dengan dua gol.

“Kita mempunyai banyak peluang sepanjang perlawanan namun kita tidak berjaya menterjemahkan peluang yang terbuka.

Antara penyokong Malaysia yang hadir memberi sokongan buat pasukan hoki remaja negara.

“Great Britain merupakan satu pasukan yang bagus dan perlawanan ini adalah satu pendedahan yang baik buat semua pemain untuk belajar  menjelang Piala Dunia Hoki Remaja nanti,” katanya kepada pemeberita.

Misi wajib menang buat Malaysia yang akan bertemu India pada Jumaat ini (17 Oktober) bagi aksi terakhir kumpulan Piala Sultan Johor sekiranya hendak melayakkan diri ke perlawanan tempat ketiga/keempat dalam kejohanan ini.