TERENGGANU FC mendapat suntikan semangat baharu untuk menghadapi Kejohanan Piala AFC apabila gelanggang rasmi mereka, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin disahkan sebagai venue untuk perlawanan di tempat sendiri.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab, stadium yang terletak di Kompleks Sukan Gong Badak itu bakal menjadi venue untuk tiga perlawanan Terengganu FC dalam Kumpulan G menentang kelab Australia, Central Coast Mariners, kelab Filipina, Stallion Laguna dan wakil Indonesia, Bali United.
Stadium dengan kapasiti 50,000 tempat duduk itu bukanlah asing dalam penganjuran perlawanan antarabangsa kerana sebelum ini pernah dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai venue untuk dua aksi antarabangsa Harimau Malaya menentang Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon pada Jun.
“Pihak Terengganu Football Club ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh entiti serta jabatan yang terlibat dalam usaha untuk menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai venue rasmi bagi pasukan ini dalam saingan Piala AFC.
“Dengan usaha serta kerjasama yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Negeri Terengganu melalui pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Malaysian Football League (MFL) dan pihak-pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung merealisasikan SSMZA menjadi venue rasmi Terengganu FC.
“Semestinya berita ini bakal menambahkan semangat bukan sahaja buat para pemain, namun buat seluruh penyokong Terengganu FC yang semestinya ingin hadir memberikan sokongan buat pasukan ini selepas 12 tahun kita tidak berada di pentas Asia,” tulis kenyataan itu.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akan membuka tirai aksi di pentas Asia menentang Central Coast Mariners pada 20 September 2023 jam 8 malam yang pastinya dinantikan seluruh penyokong skuad Peteh.
Dua lagi aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan perlawanan menentang Stallion Laguna pada 26 Oktober 2023 sebelum bertemu Bali United pada 13 Disember 2023 dengan kedua-dua sepak mula juga dijadualkan pada jam 8 malam.