TONGGAK Sabah FC, Fergus Tierney bertekad mahu melunaskan misi peribadi dengan tampil dalam final kedua MFL Challenge Cup menentang Penang FC selepas terlepas peluang beraksi di pentas akhir pertama tempoh hari.
Tierney sebelum ini tidak dapat beraksi di Stadium Bandaraya selepas digantung perlawanan susulan dua kad kuning yang diperoleh dan kini bersedia untuk kembali menjadi taruhan.
Selepas jaringan tunggalnya menentang Selangor FC di Liga Super minggu lalu menjadi perhatian, sudah tentu pemain berusia 23 tahun ini enggan melepaskan peluang untuk terus menyumbang sesuatu kepada pasukan bagi membantu meraih trofi.
“Memang kali ini saya teruja untuk kembali diturunkan sebab tempoh hari (final pertama) saya hanya mampu melihat daripada kerusi penonton sahaja.
“Saya harap saya dapat bantu pasukan ini sebaik mungkin dan tidak akan mensia-siakan sebarang peluang di depan mata.
“Kita semua pun memang sentiasa fokus untuk aksi final ini dan harapan saya adalah semua penyokong Sabah akan turun ramai-ramai berikan motivasi tambahan kepada kami”, katanya.
Apa yang pasti, pertembungan ini akan menjadi semakin sengit terutamanya selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 untuk mereka berentap sekali lagi di aksi timbal balik, Ahad ini.
Namun, Tierney positif semua pemain telah berada dalam momentum terbaik selain telah menilai kelemahan pasukan bagi memastikan mereka mampu menghadiahkan kemenangan di hadapan penyokong.
“Penang FC semakin hari semakin tunjuk belang dengan kekuatan mereka, jadi kita tidak boleh mengalah dan perlu berada di tahap terbaik untuk dapat keputusan yang kita nak.
“Apa pun, selepas kita pulang dengan 1 mata menentang Selangor minggu lalu, ia seakan jadi motivasi kepada kami untuk teruskan momentum seperti ini di final”, tambahnya.
Aksi final kedua MFL Challenge Cup ini akan berlangsung pada Ahad ini di Stadium Likas bermula jam 8.15 malam.