BINTANG skuasy Wales, Jeol Makin dipaksa berkerja keras di peringkat suku akhir Terbuka Singapura hari ini, sebelum menewaskan pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow dalam pertarungan selama 65 minit.

Pertemuan kedua-dua pemain itu berlangsung sengit sejak set pertama lagi namun pemain Makin yang berada di ranking kesembilan dunia berjaya memenangi set pertama 11-9 sebelum mudah menang set kedua 11-3.

Jeol Makin dari Wales hampir terjatuh ketika cuba mengambil bola hantaran Ng Eain Yow.

Pada set ketiga, Eain Yow melakukan kebangkitan memenagi permainan 11-8, menjadikan kedudukan 2-1 memihak Makin.

Pada set keempat, Eain Yow menukar strategi namun tidak menjadi membolehkan Makin mara ke separuh akhir selepas menang 11-8.

Meskipun menang 3-1 ke atas pemain Malaysia itu, Makin menyifatkan prestasi Eain sudah di tahap berbeza.

Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mempamerkan prestasi luar biasa.

“Dia bermain sangat baik. Mungkin orang tidak menyedarinya, tahap permainan yang dia tunjukkan, menyingkir pemain yang bagus dua perlawanan berturut-turut dengan permainan lima set.

“Dia menewaskan Paul Coll ketika ketinggalan dua set, jadi saya mesti akui dia sangat bagus,” kata Makin.

Dengan kekalahan Eain Yow, bermakna tiada wakil Malaysia di separuh akhir, esok.