RANCANGAN Jurulatih Maghribi, Walid Regragui membiarkan Sepanyol menguasai bola membuahkan hasil selepas keputusan dramatik penentuan penalti yang dimenangi mereka pada kelompok 16 terakhir awal pagi tadi.

Kemenangan membolehkan wakil Afrika itu ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah, mengatasi pencapaian pada 1986 apabila mara ke kelompok 16 terakhir.

Maghribi menang 3-0 selepas seri 0-0 dalam tambahan masa di Stadium Education City di Qatar.

Sepanyol mendominasi bola ketika perlawanan, tetapi benteng kebal Maghribi berjaya mempertahankan kubu mereka daripada diasak.

“Kami bersetuju untuk tidak banyak mengawal bola bukan kerana kami takut.

“Kami mengakui kami bukanlah Perancis, Jerman atau England untuk bersaing dalam aspek kawalan permainan.

“Tiada siapa boleh mencuri bola daripada mereka, jadi saya menerima apabila kami tidak boleh mengawal bola. Saya bukanlah pakar silap mata,” kata Regragui.

Berjaya… kita ke suku akhir. Pemain Maghribi meraikan jaringan penalti yang membawa mereka ke suku akhir Pial Dunia 2022.

Regragui berkata, pasukannya menjalani latihan selama empat hari untuk merencana perancangan mereka, mengurangkan impak pemain tengah, Sergio Busquets, Pedri dan Gavi.

“Selepas menutup terlalu banyak hantaran dalam tempoh 120 minit, kami tahu kami ada peluang. Kami hanya ada dua, tiga dan empat.

“Kami tidak tahu bagaimana untuk menghukum mereka. Kami mengikut perancangan, kami mendapat penalti dan selepas itu, bagai terkena loteri.

“Tetapi apabila anda ada penjaga gol sehebat itu di gawang anda tahu akan ada peluang lebih baik untuk berjaya,” ujarnya.