KUMPULAN penyokong tegar bola sepak negara, Ultras Malaya, menuntut penjelasan terbuka daripada pihak berkaitan berhubung isu penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam kenyataan dari  Facebook Ultras Malaya, mereka meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan sama ada proses permohonan kewarganegaraan pemain terbabit diurus dengan teliti dan mengikut lunas undang-undang yang termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia.

Ultras Malaya turut menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan berhubung kesilapan teknikal yang berlaku ketika penyerahan dokumen kepada FIFA sehingga mencetuskan isu besar yang menjejaskan reputasi negara di pentas antarabangsa.

Selain itu, kumpulan penyokong tersebut mahu pihak pengurusan skuad kebangsaan mendedahkan susur galur pemain warisan berkenaan bagi meredakan pelbagai spekulasi yang timbul sejak keputusan FIFA diumumkan minggu lalu.

Menurut mereka, kejelasan fakta amat penting bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya yang kini berdebat mengenai isu berkenaan.

Walaupun mengakui kecewa dengan insiden ini, Ultras Malaya tetap menyatakan sokongan terhadap usaha FAM yang sedang mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dalam tempoh ditetapkan.

Mereka menegaskan, tindakan susulan perlu diambil dengan berhati-hati agar imej Harimau Malaya dapat dipulihkan dan keyakinan penyokong kembali diperkukuhkan.