KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Terbuka Malaysia 2026 sebagai konsisten dan hampir berada di tahap terbaik mereka.
Menurut Herry, prestasi dipamerkan di Axiata Arena itu hampir menyamai penampilan ketika pasangan ranking dua dunia berkenaan menjuarai Kejohanan Asia di Ningbo tahun lalu.
“Saya rasa ini antara persembahan terbaik mereka selain Kejohanan Asia dan kali ini mereka hampir capai tahap itu,” kata Herry.
Bagaimanapun, beliau mengakui faktor tuah belum memihak kepada Aaron-Wooi Yik untuk menjulang kejuaraan di laman sendiri.
Pada aksi final, gandingan negara itu terpaksa akur tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Setiap beregu lelaki bertanggungjawab mendapatkan keputusan terbaik dalam setiap lejohanan disertai. – Herry IP
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus menunggu wakil menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi Datuk Seri Lee Chong Wei pada 2018.
Kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di kejohanan berprestij itu juga berlanjutan sejak kejayaan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.
Herry menegaskan beban kejuaraan tidak wajar dipikul Aaron-Wooi Yik semata-mata dengan harapan pasangan lain turut menyumbang menjelang Terbuka India Super 750.