JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi menaiki podium apabila meraih pingat gangsa acara pecut individu pada Siri UCI Track Nations Cup di Perth, Australia, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu menundukkan wakil Israel, Mikhail Yakovlev 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di SpeedDome Velodrome.
Kejayaan itu sekali gus menghadiahkan pingat kedua buat Azizulhasni selepas muncul juara acara keirin semalam.
Terdahulu, hasratnya untuk melangkah ke final acara pecut tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada pelumba Britain, Matthew Richardson pada peringkat separuh akhir.
Richardson kemudian mengesahkan kejuaraan acara itu selepas menewaskan pelumba tuan rumah Australia, Leigh Hoffman 2-0 pada aksi final.
Walaupun sekadar membawa pulang gangsa dalam acara pecut, pencapaian Azizulhasni tetap membanggakan apabila menutup kempen di Perth dengan satu emas dan satu gangsa.