PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) yakin mampu mengekalkan pingat emas dalam acara regu di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa pemain yang menampilkan aksi terbaik di Sukan Sea Kemboja bulan lalu.

Menurutnya, kemungkinan besar 70 hingga 80 peratus pemain yang beraksi di Sukan Sea Kemboja akan dikekalkan namun, pemilihan pemain masih terbuka dan akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan negara.

“Di Sukan Asia Hangzhou, ada tiga acara di pertandingkan namun, skuad lelaki akan menyertai acara regu dan regu berpasukan sahaja manakala, skuad wanita pula akan menyertai acara regu dan quadron.

“Pada Sukan Asia di Palembang (Indonesia), kita berjaya meraih emas dalam acara regu dan kali ini kita yakin dapat mempertahankan pingat itu. Kita ada peluang cerah biarpun berjumpa Thailand di pentas final.

“Semasa Sukan Sea bulan lalu, kita menang dengan regu utama mereka dalam acara berpasukan namun, ketika itu nasib tak menyebelahi kita untuk regu berikutnya. Di Sukan Asia nanti, kita akan berusaha lebih keras.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (dua dari kiri) sasarkan satu emas dan satu perak di Sukan Asia 2022, Hangzhou, China.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa kita bersedia untuk jumpa (menentang) siapa sahaja termasuk Thailand sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menyertai acara regu nanti,” katanya, selepas menghadiri mesyuarat pemilihan atlet ke temasya Sukan Asia Sukan Asia di Hangzhou, China bersama Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma MOM.

Mengulas lanjut, Mohd Sumali berkata, sepak takraw akan menyertai Sukan Asia Hangzhou atas tiket Kategori A untuk skuad lelaki manakala untuk skuad wanita masih belum diputuskan dan senarai nama pemain akan dihantar pada 15 Julai depan.

“Ketika ini, proses pemilihan pemain masih berjalan dengan Liga Sepak Takraw (STL) dan Kejohanan King Cup akan menjadi kayu pengukur prestasi pemain. Jadi, masih ada peluang untuk pemain buktikan kewibawaan masing-masing.

“Untuk acara berpasukan di Sukan Asia Hangzhou, kita sasarkan pingat perak namun, bergantung kepada prestasi pemain pada hari pertandingan, pemain dapat bermain dengan baik dan luar biasa, maka tidak mustahil untuk bertukar emas,” katanya.

Pada Sukan Asia Pelembang, skuad negara menamatkan kemarau emas selama  24 tahun Malaysia selepas menumbangkan pasukan tuan rumah Indonesia 2-1 di pentas final regu.

Ketika itu, Malaysia diwakili oleh Syahir Rosdi (tekong), Zulkifli Abdul Razak (tekong), Norhafizi Abdul Razak (apit kanan), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan).