PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara Mohd Azraai Khor Abdullah, yang meninggal dunia di Alor Setar pada tengahari Khamis.

Berita pemergian yang menggemparkan arena bola sepak Malaysia telah mendapat perhatian daripada Perdana Menteri sendiri sejurus membuat satu hantaran yang dimuat naik ke laman Instagram rasmi beliau.

“Salam takziah buat keluarga bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih disegani, Mohd Azraai Khor Abdullah yang menghembuskan nafas terakhir akibat strok hari ini.

“Pastinya jasa dan sumbangan Allahyarham kepada dunia bola sepak negara akan dikenang terutamanya buat penyokong Kedah apabila membawa pasukan itu muncul juara double treble pada 2007 dan 2008.

“Moga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menempuh dugaan ini dan dititipkan doa agar Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut ucapan yang dizahirkan beliau.

Azraai telah memahat 1001 kenangan bersama skuad Kedah apabila menjadi salah seorang tonggak utama di era 70-an sekali gus memberi jasa terhadap skuad kebangsaan dari tahun 1975 hingga 1978.

Al-Fatihah.