UNIVERSITI Auburn memberi lampu hijau kepada Muhammad Azeem Fahmi untuk mewakili negara ke temasya Sukan Asia, di Hangzhou, China, September depan.
Perkara itu disahkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Temasya Sukan Asia ke-19, yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Pengurus Besar KOM, Nurhayati Karim berkata, Muhammad Azeem akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat dan atlet kelahiran Ipoh, Perak itu dijangka menyertai skuad negara ke Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, Julai depan.

Pengurus Besar KOM, Nurhayati Karim sahkan Muhammad Azeem akan kembali ke tanah air tidak lama lagi. Pemegang rekod kebangsaan 100m itu akan beraksi di Sukan Asia, Hangzhou, China, di bawah kategori A.
“Muhammad Azeem akan berlatih di sini (Malaysia) dan dia akan balik dalam masa terdekat, tarikh yang tepat kita dapat pastikan lagi. Sekarang kem latihan sudah pun bermula dan kita juga berharap dia akan dapat bersama-sama skuad negara ke Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok
“Selepas Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok (12 hingga 16 Julai), masih belum ada kepastian sama ada Muhammad Azeem akan kekal berlatih atau pulang ke sana (Amerika Syarikat) terlebih dahulu,” katanya.
Muhammad Azeem, 19, turut dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga Terbuka Malaysia bulan depan.

Pelari pecut yang sudah lima bulan berpangkalan di Amerika Syarikat itu, mencipta catatan terbaik musim ini 10.11 saat (s) pada kejohanan di Louisiana baru-baru ini, dan berada di landasan tepat untuk memadam rekod kebangsaan 10.09s miliknya.
Bulan lalu, Muhammad Azeem mencatat masa 10.04s, di Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 di Florida, namun catatan itu tidak dikira sebagai rekod baharu kebangsaan kerana bantuan angiin 5.5s.
Mengulas tentang pemilihan atlet ke Sukan Asia di Hangzhou, Norhayati berkata, pihaknya masih menunggu keputusan akhir jumlah sebenar jumlah atlet yang akan menggalas harapan negara di temasya tersebut.
Katanya, selain Muhammad Azeem, terdapat empat lagi atlet iaitu Shereen Samson Vallabuoy (400m), Andre Anura Anuar (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Norliyana Kamarudin (lompat tinggi) akan bertanding di bawah kategori A.

“Ketika ini ini, kita ada 21 atlet yang disenaraikan iaitu lima akan bertanding dibawah kategori A manakala 16 lagi kategori B1. Kita ada mohon untuk tambah seorang lagi atlet di kategori A iaitu Grace Wong.
“Kita berharap dapat bawa 38 yang mana baki itu akan bertanding di bawah kategori B2. Jadi kami harap permohonan kami itu diluluskan,” tambahnya.
Dalam pada itu Hayati berkata, peluang untuk atlet olahraga untuk disenaraikan ke Sukan Asia masih belum tertutup dan senarai akhir atlet yang akan bertanding di temasya itu hanya akan dimuktamadkan selepas berakhirnya saingan di Bangkok, pada Julai depan.