DUA pingat emas menjadi sasaran Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di temasya Sukan Asia, Hangzhou, China, September depan.
Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, berdasarkan prestasi semasa, pingat emas itu dijangka hadir menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu campuran.
“Di Sukan Asia nanti, peluang terbuka buat mana-mana pemain, gandingan dan pasukan tapi kita berharap dapan merealisasikan sasaran dua pingat emas daripada mana-mana acara,” kata Maniam, ditemui Majlis Pengumuman Penajaan Pakaian untuk pemain skuasy bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, S Maniam.
Hadir sama pada majlis itu, wakil Maxbolt, Nicholas Sam Jr; Pengurus Negeri Asics, Born Tib Soom Nik; Naib Presiden SRAM, Sharon Wee dan Setiausaha Kehormat SRAM, Nafzahizam Adnan.
Mengulas mengenai pemain yang akan menggalas cabaran negara di temasya Hangzhou, China, yang hanya membenarkan seorang atlet beraksi dalam dua acara, beliau mengesahkan empat pemain lelaki dan empat wanita dipilih akan beraksi dalam acara berpasukan (lelaki, wanita) selain satu lagi acara iaitu perseorangan atau beregu campuran.
“Untuk peseorangan lelaki, Ng Eain Yow dan perseorangan wanita S Sivasangari dan kita akan memilih pemain nombor empat sebagai perseorangan kedua di temasya itu.
“Situasi sekarang, Syafiq (Mohammad Syafiq Kamal) akan bermain di beregu campuran, begitu juga dengan Ivan (Yuen) dan Rachel, jadi tinggal Addeen (Mohd Addeen Idrakie) sebagai perseorangan keempat akan bermain untuk perseorangan lelaki.

Pemain skuasy negara berada di tahap prestasi terbaik menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022.
“Perseorangan wanita pula, kita sudah ada Sivasangari, jadi perseorangan kedua kita akan pilih antara empat pemain yang prestasinya agak setara antara Aina (Noor Ainaa Amani Ampandi), Aira (Azman), Yiwen (Chan Yiwen) dan Yee Xin Ying.”
Dalam pada itu, enam pemain akan menggalas cabaran negara di Kejohanan Beregu Campuran Hangzhou, 26 hingga 30 Jun ini.
Aifa Azman dan Syafiq menjadi gandingan utama negara, Ivan dan Rachel Arnold kedua manakala Addeen-Ainaa Ampandi ketiga, akan menggalas cabaran negara di kejohanan itu.
“Bagaimanapun, kejohanan beregu campuran itu bukan medan untuk kita memilih gandingan mana yang layak kita tampilkan di Sukan Asia, namun kita mahu melihat prestasi Addeen-Ainaa, nak lihat sejauh mana gandingan mereka, dalam masa sama kita harapkan mana-mana pemain kita menang emas,” kata Maniam.
Tambah beliau, kejohanan di Hangzhou itu juga akan dijadikan medan menilai kemampuan gandingan negara lain, terutamanya dari India.
Gandingan campuran dari India, Saurav Ghosal-Deepika Pallikal adalah pasangan yang kuat, namun Maniam mengesahkan Saurav akan diturunkan sebagai perseorangan lelaki di Sukan Asia nanti, sekali gus Deepika akan bergandingan dengan pemain lain yang akan beraksi di kejohanan terbabit.