PELARI pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli  berazam ingin membuat rekod catatan peribadi terbaik pada acara pecut 100 meter (m) dan 200 m pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam Sabtu  ini.

Menurut pelari yang lebih sinonim dengan panggilan ‘Adeq’ ini, persiapannya kini hanya memfokuskan 100 peratus kepada latihan dan telah bersedia memberikan aksi terbaik dalam acara kegemarannya di Hanoi kali ini.

Pelari yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut menjangkakan cabaran hebat bakal hadir dari pelari Filipina, Kyla Richardson bagi acara 100 m dan 200 m namun tidak memandang rendah keupayaan beberapa negara lain yang semestinya memiliki senjata masing-masing.

“Sasaran peribadi nak buat habis baik tapi kalau boleh nak sasar untuk dapat buat rekod peribadi.

“Kalau diikutkan sekarang lawan yang dijangka sukar dari negara Filipina iaitu Kyla Richardson bagi acara 100m dan 200m tapi negara lain pun kena pandang serius sebab masing-masing hanya buat persiapan di negara sendiri,” katanya.

 Foto kredit: The Star

Pun begitu, seperti atlet lain Zaidatul tidak terlepas daripada merasai tekanan, namun dia lebih memilih meredakan tekanan dengan cara berdiam diri dan fokus sehingga hari pertandingan.

Ayahnya menjadi individu penting dalam kejayaannya dalam sukan larian kerana sering memberikan galakan dan sokongan dalam sukan larian , selain suaminya, Firdaus Mazalan yang turut merupakan atlet dalam acara 400m lari berpagar.

“Saya lebih suka berdiam dan fokus sahaja kepada latihan sehingglah hari pertandingan.

“Dorongan keluarga sangat membantu terutama sekali abah sebab dari saya kecil memang dia yang akan sokong dalam sukan larian ni, tapi sekarang suami banyak membantu dan sokong saya,” ujar atlet berusia 29 tahun itu.

Untuk rekod, dia pernah beraksi dalam  Sukan SEA 2013 di Myanmar (akhir), Sukan SEA 2015 di Singapura  ( gangsa  4×100 m), World University Games 2015 di Gwangju, Sukan Olimpik 2016 di Brazil (pusingan pertama), Sukan SEA 2017 di Malaysia (perak 100 m dan 200m),Sukan Asia 2018 di Indonesia (akhir), Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast (separuh akhir) dan Sukan SEA 2019 di Filipina (akhir).