MESKIPUN yakin dengan kemampuan pemain remaja lelaki negara menggalas cabaran di Sukan SEA Kemboja, Mei depan, persiapan rapi tetap diatur bagi meningkatkan keyakinan pemain yang sebelum ini amat kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.
Pengendali skuad remaja kebangsaan Amin Rahim berkata, meskipun tahap persaingan hoki di Asia Tenggara agak rendah berbanding reputasi pasukan remaja yang akan menggalas cabaran di Phnom Penh, Kemboja, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tetap mengatur program antarabangsa sebagai persediaan.
“Ada pasukan yang akan bersaing di Sukan SEA Kemboja nanti seperti Thailand dan Indonesia, mahukan perlawanan persahabatan dengan kita, tetapi KHM menolak dan menyediakan program di Australia.
“Skuad negara akan ke Australia minggu hadapan bagi menjalani latihan dan menyertai perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab hoki yang beraksi dalam Liga Hoki Australia selain perlawaann persahabatan menentang skuad hoki senior,” kata Amin, pada sesi latihan pertama skuad hoki kebangsaan yang akan menggalas cabaran ke Sukan SEA Kemboja.

Ketua Jurulatih Hoki Remaja Lelaki, Amin Rahim yakin latihan di Australia mematangkan pemain.
Jelas Amin, kunjungan ke Australia minggu depan juga sangat penting, kerana ia juga menjadi platform persediaan dan latihan ke Piala Asia Remaja, di Oman, Jun depan.
“Memandangkan mereka sedang melangsungkan saingan liga di sana, jadi kita memilih untuk bertemu dengan kelab di sana kerana pemain kebangsaan mereka akan kembali ke pangkuan kelab masing-masing.
“Jadi kita akan berdepan dengan pemain senior kerana sebelum ini ketika kita pergi ke sana kita hanya berentap dengan pemain remaja. Saya mahu melihat intensiti permainan, jadi keputusan tidak diambil kira.
“Walaupun hanya pasukan kelab, jika ada dua atau tiga pemain kebangsaan Australia ia tetap dianggap sebagai standard tinggi. Apa yang saya mahukan kualiti, tempo, intensiti dan kelajuan agar anak buah saya dapat membiasakan diri dengan semua itu.”
Ditanya mengenai pencabar di Kemboja, Amin yang juga bekas pemain kebangsaan, mengakui mereka harus menghormati setiap pasukan lawan di sana.
“Walaupun hormat tapi tidak bermakna kami menarik ‘gear’ ke belakang. Kami tetap yakin dengan kemampuan pasukan dalam masa sama tidak mahu hilang fokus kerana sebelum ini di Sukan SEA Singapura 2015 aksi diheret sehingga ke penentuan penalti shootout ketika menentang pasukan tuan rumah,” katanya.