SLOT ke separuh akhir bukan lagi menjadi keutamaan buat Speedy Tigers, sebaliknya perlawanan terakhir kumpulan B menentang Jepun, menjadi misi wajib menang – perlu dicapai dalam kempen Kejohanan Piala Negara-Negara FIH 2025.

Selepas seri 3-3 dengan Pakistan pada perlawanan pertama, keputusan tewas 3-4 di tangan New Zealand, memberi kesan besar kepada peluang skuad kebangsaan bimbingan Sarjit Singh yang mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kejohanan.

Tonggak pertahanan berpengalaman, Faiz Helmi Jali berkata, seluruh pasukan sudah berazam untuk tidak memikirkan sebarang kemungkinan, mara atau tidak ke separuh akhir dan hanya mahu fokus mendapatkan kemenangan.

“Apapun jadi atara perlawanan New Zealand menentang Pakistan, kami kena menang juga (lawan Jepun). Kami perlu bermotivasi apa lagi beraksi di laman sendiri dan perlu menang perlawanan terakhir kumpulan,” kata Faiz Helmi.

Faiz Helmi Jali mahu skuad neagra bangkit buru kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan B, menentang Jepun.

Dia mengakui, semua pemain perlu lebih berhati-hati dalam pengurusan kad kerana ia boleh mengubah nasib pasukan sebagaimana selepas Speedy Tigers mendahului 3-0 sebelum tunduk 3-4 kepada skuad Black Sticks.

Selepas dua perlawanan, New Zealand memimpin kumpulan B dengan enam mata hasil dua kemenangan, 2-1 ke atas Jepun dan 4-3 ke atas Malaysia.

Pakistan kini di tangga kedua dengan empat mata, hasil seri 3-3 dengan Malaysia dan menang 3-2 ke atas Jepun, semalam.

Hanya juara dan naib juara kumpulan akan terus ke separuh akhir dengan peluang skuad negara terlalu bergantung kepada perkiraan matematik selepas hanya memungut satu mata.