BUAT julung Thailand dan Indonesia dianggap sebagai ancaman kepada skuad hoki negara dalam usaha mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Kemboja kali ini.
Pengurus pasukan, I Vikneswaran berkata, skuad negara membariskan pemain muda berbanding skuad lawan, namun tidak bermaknanya Young Tigers mengangkat bendera putih pada temasya Phnom Penh, 5 hingga 17 Mei depan.
“Kita akui Thailand dan Indonesia sedang membangun dalam sukan hoki tetapi tidak boleh dijadikan alasan mengapa kita tidak boleh meraih pencapaian terbaik yang mana kita mengharapkan emas biarpun menggunakan pemain remaja.
“Kali ini, KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) sememangnya memberikan kepercayaan penuh kepada pemain remaja untuk menggalas tanggungjawab di Sukan SEA,” kata Vikneswaran.
Skuad remaja dibariskan mewakili pasukan kebangsaan di Sukan Sea, seabgai sebahagian daripada persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur 5 hingga 16 Disember depan.

Acara hoki padang kembali dipertandingkan di Kemboja selepas kali terakhir pada edisi 2017 yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah.
Ketika itu, skuad lelaki negara menepati ramalan apabila memenangi emas.
Di Kemboja, empat emas ditawarkan dalam sukan hoki membabitkan acara padang lelaki dan wanita selain hoki dalam dewan lelaki dan wanita.
“Sudah tentu ini menjadi sebahagian persiapan bagi Piala Dunia Remaja tetapi Sukan SEA juga harus diberikan fokus kerana MOM (Majlis Olimpik Malaysia) memberikan kepercayaan yang tinggi kepada pasukan hoki.
“Jadi, pastinya kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk memastikan pasukan menepati sasaran yang ditetapkan,” kata Vikneswaran yang turut memberitahu skuad hoki diletakkan dalam Kategori A (perbelanjaan ditanggung sepenuhnya).