PELUMBA pecut trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, belum sedia kembali ke kejohanan dan diputuskan berehat daripada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Filipina bagi mengelak situasi menjadi lebih buruk, meskipun menunjukkan perkembangan pemulihan positif.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri, berkata Shah Firdaus sudah kembali menjalani latihan berat dengan penggunaan gear lebih besar sebagai petanda fasa pemulihan berada di landasan betul.

Ujian terkini di gim menyaksikan peningkatan prestasi sekitar 60 peratus berbanding bulan lalu, termasuk catatan 10.44 saat bagi acara 200 meter.

Namun, tempoh tujuh minggu dianggap terlalu singkat untuk memaksanya berlumba pada intensiti tinggi dan keputusan menarik diri dibuat secara bersama.

Harnizam Basri yakin Shah Firdaus ada cukup masa untuk.memuncak di Piala Dunia Trek dan Sukan Asia.

“Kita tak mahu ambil risiko kerana bimbang kecederaan lama berulang,” kata Harnizam.

Sebagai ganti, sasaran awal Shah adalah Piala Dunia Trek di Nilai dengan jangkaan tahap prestasi 80 hingga 90 peratus sebelum fokus sebenar diberikan kepada Sukan Asia.

Bagi ACC, skuad pecut lelaki negara akan diketuai Datuk Azizulhasni Awang dengan satu lagi slot keirin diisi pelumba terbaik ketika itu, manakala acara pecut berpasukan lelaki mengekalkan trio Sukan SEA Thailand.

Mengulas sasaran kejohanan, Harnizam menegaskan buruan pingat sekadar penanda aras awal tanpa tekanan tinggi kerana “sasaran utama tetap Sukan Asia.”