ATLET angkat berat Kedah, Nur Syazwani Radzi merangkul pingat emas bagi kategori 64 kilogram (kg) wanita akhir Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang berlangsung di kompleks kejiranan presint 11, Putrajaya pada Khamis.

Nur Syazwani, 22, muncul juara selepas berjaya mengangkat 85kg bagi acara snatch dan 106 kg untuk clean and jerk.

Berat angkatan secara keseluruhan, 191 kg tersebut berjaya memecahkan rekod kebangsaan namun malangnya, rekod tersebut tidak diiktiraf memandangkan acara angkat berat tidak dianjurkan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Nur Syazwani ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat, ternyata kecewa namun memandang positif dan bersyukur kejayaan yang diraih.

“Kejayaan ini saya hadiahkan buat keluarga terutamanya kedua ibu bapa saya, Sharifah Khushi Mohamed dan Abdul Razak Abdul Rahman yang banyak menyokong karier.

“Saya ingin balas kepercayaan diberikan dan emas ini amat berharga atas segala penat lelah dan pengorbanan mereka-mereka yang membantu saya,” tegasnya.

Perak pula dimenangi atlet pilihan dari Perak, Nurul Anis Abdullah dengan angkatan bebanan keseluruhan 171 kg (76 kg snatch / 95 kg clean and jerk) manakal gangsa milik atlet Johor, Qisvena Abdullah yang mengumpul bebanan 142 kg (60 kg/ snatch/ 82 kg clean and jerk).