CHAN Yiwen menyekat penguasaan Kedah dalam skuasy perseorangan wanita apabila mengatasi rakan sepelatih kebangsaan, Aira Azman dalam final pada Selasa.
Begitupun kemenangan tidak hadir dengan mudah apabila Yiwen yang mewakili Wilayah Persekutuan, dipaksa bermain hingga lima set dalam aksi di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Bermula baik, Yiwen tunduk 11-3 di set pertama, dicabar hebat Aira hingga keciciran dua set 8-11, 3- 11.
Yiwen, 22, bangkit dalam dua set berikutnya, 11-5, 11-4 sekali gus mengesahkan pingat emas buat Wilayah Persekutuan dengan kemenangan.
Kemenangan itu amat bermakna buat Yiwen, selepas terlepas pingat emas empat tahun lalu gara-gara tewas di tangan kakak Aira iaitu Aifa Azman pada final Sukma 2018 di Ipoh, Perak
“Saya tidak selesa pada bahagian betis pada awal perlawanan. Saya juga lebih banyak fikirkan keadaan badan daripada permainan sendiri.
“Saya mula hilang fokus menyebabkan saya tewas pada set kedua dan ketiga. Namun, rakan-rakan beritahu saya ia bukan pengakhiran dan percaya dengan diri sendiri.
“Akhirnya saya berjaya mencuri satu pingat emas Kedah hari ini (semalam). Saya tak mahu terlepas emas lagi memandangkan ini adalah Sukma terakhir,” kata Yiwen yang berada di ranking ke-74 dunia
Emas perseorangan wanita di pentas Sukma sebelum ini didominasi sepenuhnya Pulau Pinang menerusi Datuk Nicol Ann David (1998, 2000, 2002), Low Wee Wern (2006, 2008, 2010), Low Wee Nee (2012) dan Vanessa Raj (2014).
Kini giliran Kedah dmemonopoli pentas Sukma selama dua edisi berturut-turut menerusi S. Sivasangari pada 2016 dan Aifa empat tahun lalu.
Bagaimanapun, kekecewaan Kedah diubati dek kejayaan dua perseroangan lelaki mereka yang berentap di final.
Emas dimenangi Ong Sai Hung manakala Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif perak selepas perlawanan berkesudahan 11-7, 11-5, 5-11, 11-6.