LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan bahawa Liga Malaysia (Liga M) tidak berada dalam keadaan tenat meskipun beberapa kelab ketika ini berdepan cabaran kewangan dan isu pengurusan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menyifatkan situasi semasa sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan melalui pelaksanaan Financial Fair Play (FFP).
Menurutnya, pelaksanaan FFP yang baru memasuki tahun pertama sudah menunjukkan perkembangan positif walaupun masih berada di peringkat awal.
“Tiada liga yang tenat jika kita melihat kepada pelaksanaan FFP. Kita masih di tahun pertama dan belum selesai sepenuhnya, namun sudah ada banyak perkembangan positif.
“Sebagai perbandingan, La Liga sendiri mengambil masa sehingga lima tahun untuk benar-benar stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kerjasama antara MFL dan Konami Digital Entertainment, semalam.
Tambahnya, proses tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperbaiki struktur dan kestabilan liga secara menyeluruh.
Kenyataan itu hadir susulan beberapa kelab Liga M yang mula menyuarakan cadangan agar satu sesi meja bulat diadakan bagi membincangkan isu semasa, khususnya berkaitan kewangan dan struktur liga.
Sehubungan itu, MFL berpandangan proses pembaharuan yang sedang dilaksanakan perlu diberi masa sebelum sebarang kesimpulan dibuat terhadap tahap kesihatan liga.
Pendekatan tersebut diyakini mampu membantu membina ekosistem bola sepak tempatan yang lebih mampan dalam jangka panjang.