KERJASAMA antara Konami Digital Entertainment dan Malaysian Football League (MFL) membuka lembaran baharu apabila Liga Malaysia kini secara rasmi dibawakan ke dalam platform permainan global, eFootball.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peminat menikmati kelab tempatan dalam bentuk digital, malah memperluaskan lagi pengaruh bola sepak Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pelaksanaan ini hadir menerusi kemas kini versi 5.4 eFootball™ yang menawarkan pengalaman permainan lebih realistik.
Buat julung kali, kesemua 13 kelab Liga Malaysia dimasukkan ke dalam permainan tersebut, termasuk Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC, sekali gus membolehkan pengguna memilih pasukan kegemaran masing-masing.
Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, kolaborasi tersebut membuka dimensi baharu dalam interaksi antara penyokong dan bola sepak tempatan.
Menurutnya, penyokong kini boleh membawa semangat pasukan masing-masing ke dunia maya sekali gus meningkatkan pengalaman sokongan terhadap kelab.
Bagi meraikan pelancaran ini, KONAMI turut menawarkan ganjaran dalam permainan kepada pengguna termasuk Kontrak Pemilihan yang membolehkan pemain memperoleh kad Highlight menampilkan bintang Liga Malaysia.
Selain itu, pengenalan pelayan khas Malaysia dijangka meningkatkan kualiti permainan dalam talian dengan sambungan lebih stabil dan respons lebih baik kepada pemain tempatan.
Dalam usaha memperkasa ekosistem esports, KONAMI turut menganjurkan eFootball Championship 2026 Malaysia Cup dengan pusingan akhir dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 April di LaLaport BBCC, Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang kepada pemain tempatan untuk bersaing di pentas lebih tinggi.