CRISTIANO Ronaldo dijangka berpindah ke Arab Saudi pada permulaan tahun 2023 selepas bersetuju mengikat kontrak bersama Al-Nassr, demikian menurut laporan di Sepanyol.

Perbincangan mengenai kontrak hampir ‘muktamad’ pada hujung bulan lalu dan kini Ronaldo akan beraksi dengan kelab di luar Eropah buat kali pertama dalam kariernya.

Akhbar Sepanyol, Marca memetik perjanjian dengan harga 200 juta euro (RM919 juta) semusim ‘sudah lengkap’ dengan bintang Portugal itu dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun.

Perjanjian awal sekitar 100 juta euro (RM459 juta) dengan iklan dan tajaan menjadikan gajinya melonjak ke angka rekod yang akan menyaksikannya muncul antara atlet dengan bayaran paling tinggi dalam sukan.

Media antarabangsa mula menghebahkan khabar perpindahan Cristiano Ronaldo.

Sekiranya kontrak itu disahkan, Ronaldo dikatakan tidak berhasrat untuk menokok kejuaraan liga domestik dan Eropah selepas memenangi Liga Juara-Juara lima kali, Liga Perdana Inggeris tiga kali, La Liga dan Serie A masing-masing dua kali, selain beberapa pertandingan piala.

Ada juga laporan menyatakan Ronaldo akan kembali ke Sporting Lisbon, kelab dia memulakan karier profesionalnya.

Ronaldo menjadi perbualan hangat sejak awal musim ini selepas dia dipinggirkan ke bangku pemain simpanan oleh pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag.

Keputusan Ten Hag tidak menurunkan pemain berusia 37 tahun itu dalam kesebelasan utama dan memintanya tampil bagi beberapa minit terakhir ketika United menang 2-0 ke atas Tottenham, sebelum Ronaldo enggan dan meluru keluar sebelum wisel penamat, mencetuskan kontroversi.

Ronaldo ditugaskan sebagai kapten ketika United tewas 3-1 di tangan Aston Villa yang menjadi penampilan terakhirnya buat Red Devils.

Kemudian dalam satu temu ramah bersama Piers Morgan dalam TalkTV, Ronaldo meluahkan segala-galanya yang terbuku di hatinya apabila menyatakan dia berasa ‘dikhianati’ dan Ten Hag ‘tidak menghormatinya’, selain mengecam pemilik kelab keluarga Glazer dari Amerika Syarikat dan beberapa bekas pemain United. – AGENSI