BEKAS pemain bola sepak kebangsaan era 70-an Syed Ahmad Syed Abu Bakar kini berada dalam keadaan tenat terlantar di Hospital Besar Tuanku Fauziah Kangar,Perlis selepas terkena serangan jantung dan angin ahmar.
Penyerang berusia 76 tahun itu merupakan legenda bola sepak negara yang disegani dan pengorbanannya dikenang hingga ke hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi ciapan dalam akaun Twitter pada Selasa.
“Bersama kita doakan agar beliau kembali sembuh dan dapat kembali bersama keluarga tercinta. Amin,” ujarnya.

Hamidin menziarahi lagenda bola sepak negara Syed Ahmad Abu Bakar di Arau. – Foto BERNAMA
Awal tahun ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sempat melawat Syed Ahmad yang menderita kanser prostat tahap empat sejak lebih dua tahun lepas.
Syed Ahmad menjadi antara penyerang terbaik skuad negara suatu ketika dahulu dan dia berjaya menjaringkan gol dalam aksi kelayakan di Seoul, Korea Selatan pada 1971 yang melayakkan Malaysia beraksi di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.