PEMILIK kelab HockAdemy, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin mengakui kecewa dengan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang dijadualkan berlangsung hari ini (Sabtu).
Megat Shahriman yang juga calon kerusi presiden badan induk hoki Kuala Lumpur itu menyifatkan insiden sedemikian sewajarnya tidak berlaku sekiranya perjalanan operasi diselia dengan cekap.
“Saya memang kecewa selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur ditunda.
“Pimpinan sekarang yang ada tidak cekap dan tidak ikut prosedur. Kalau sudah tahu dokumen tak lengkap (audit), kenapa umum nak buat AGM? Bagi saya mereka tidak jujur dalam tadbir urus persatuan, ” katanya pada Jumaat.
Pada Khamis, PHKL dalam satu kenyataan memaklumkan masih belum menerima akaun audit daripada juruaudit luarnya.
“Memandangkan keperluan Fasal 15 Perlembagaan belum dipenuhi, maka dinasihatkan bahawa dari segi undang-undang, badan induk tidak berada dalam kedudukan untuk mengadakan AGM.
“Selaras keputusan mesyuarat pada 26 Disember, badan induk memutuskan AGM akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan sehingga audit selesai dan akaun dimuktamadkan juruaudit luar.”
Dalam pada itu, Megat mengakui banyak kelompangan tadbir urus yang berlaku, namun tidak gentar untuk terus bertanding.
“Kami tetap bersedia untuk lawan dalam semua kerusi menjelang AGM tarikh baharu nanti.
“Kami mahu bekerjasama dengan semua 14 persatuan hoki negeri lain sekaligus memperkasa kembali sukan hoki negara dalam membantu Konfederasi Hoki Malaysia.
Sebagai rekod, Megat Shariman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pernah mengemudi badan induk itu pada penggal 2019-2022 akan mencabar penyandang I. Vikneswaran.