PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada juara pelari menara negara, Soh Wai Ching yang telah mengesahkan statusnya sebagai nombor satu dunia selepas mengungguli pertandingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Dalam catatan di laman Facebooknya, Ismail berkata negara amat berbangga dengan pencapaian Soh dan berharap dia akan terus mengekalkan momentum kejayaannya.
“Tahniah Soh Wai Ching kembali ke status No. 1 dunia!
“Keluarga Malaysia… jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.
Wai Ching yang berusia 27 tahun memenangi pertandingan mendaki 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center dalam masa 12 minit dan 46 saat.