PENGENDALI Bahrain, Helio Sousa menjangkakan satu perlawanan yang sukar apabila menentang Malaysia dalam perlawanan kedua Kumpulan E, Kelayakan Akhir Piala Asia AFC 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil ‘pada Sabtu.
Helio juga tidak gentar dengan sorakan penyokong Harimau Malaya malah dia mahukan lebih ramai datang ke stadium kerana ianya akan mewujudkan atmosfera yang menakjubkan untuk perlawanan yang dijangka menarik.
Pengendali dari Portugal ini juga menyatakan Harimau Malaya kini lebih baik berbanding dahulu jika dilihat pada keputusan akhir menentang Turkmenistan namun fokusnya hanya pada persiapan pasukan sahaja.
“Persiapan kami berjalan lancar dan kami menjangkakan perlawanan yang sengit esok. Kami juga mengharapkan lebih ramai penyokong hadir ke stadium bagi mewujudkan suasana yang hebat untuk perlawanan yang menarik.
“Pasukan kami tiada masalah dan sejak kami hadir ke sini tujuan kami hanyalah mahu menang kerana pertandingan ini sangat singkat. Kami hanya fokus kepada diri kami dan mengawal apa yang kami boleh kawal.
“Skuad Malaysia kali ini lebih baik berdasarkan perlawanan menentang Turkmenistan dan mereka mempunyai kelebihan sokongan penyokong yang menjadi pemain tambahan dan kami sedar akan perkara ini dan kami perlu beraksi dengan baik untuk mencapai kemenangan.
“Sasaran kami adalah untuk mencapai mata maksimum dan menjaringkan lebih gol kerana ianya akan menjadi pemisah selepas tiga perlawanan dan kami berharap dapat memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong fanatik yang boleh memotivasikan pemain kami,” jelas Helio pada sidang media pra perlawanan hari ini.
Bahrain dan Malaysia akan menghadapi perlawanan terpenting dalam kejohanan berformat karnival ini kerana siapa yang muncul pemenang esok akan layak secara automatik ke Piala Asia AFC 2023.