KAPTEN Pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar memuji sikap positif yang dimiliki jurulatih Datuk Ong Kim Swee kerana beliau begitu faham karakter pemain dan bijak menggunakan barisan pemain yang tepat bagi mencetus kemenangan pasukan Sabah FC.
Jelasnya, jurulatih itu sering menasihatinya untuk memberi semangat kepada pemain muda dan membentuk suasana harmoni sebagai keluarga di dalam dan luar padang.
Secara peribadi, bekas pemain Kedah FC itu bercita-cita membawa The Rhinos ke saingan AFC pada musim hadapan. Ulasnya, dia tidak terlalu mengharapkan bulan dan bintang untuk menjadi juara liga sebaliknya menyifatkan kelompok tiga terbaik dalam saingan Liga Super merupakan antara pencapaian realistik yang boleh dibanggakan Sabah FC.

“Dia faham karakter seseorang pemain dan beliau tahu masa bila boleh guna pemain itu dan situasi yang sukar dia akan handle benda itu supaya benda itu akan jadi positif.
“Sebagai ketua pasukan, beliau akan suruh bantu pemain-pemain lain dan menaikkan semangat ketika di padang dan di luar padang. Buat pasukan ini sebagai pasukan yang harmoni dan bentuk pasukan sebagai satu keluarga.
“Bagi saya, kami perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Sasaran kami jika berada di Top 3 adalah satu bonus. Secara individu, saya sasarkan untuk bawa pasukan Sabah ke Piala AFC tahun hadapan, dan kalau boleh nak kekal nombor dua di liga.
“Buat masa sekarang ini pasukan Sabah berada dalam keadaan yang baik, motivasi yang tinggi. Kami akan kekalkan momentum kemenangan macam sebelum ini,” kongsi Baddrol kepada FLASH SUKAN.

Mengulas perlawanan bertemu Melaka United FC, pemain berusia 34 tahun itu menzahirkan kegusaran terhadap jentera serangan Melaka United yang disifatkan sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas.
“Dengan Melaka ini memang Melaka dah buat comeback, kita paling risau bahagian attacking dengan empat pemain import di bahagian atas, kita perlu berhati-hati apabila mereka melakukan counter attack,” tambahnya.
Sabah FC kini berada pada kedudukan kedua Liga Super dan berada pada landasan terbaik memburu gelaran juara liga musim ini manakala Melaka United FC pula menghuni tangga ke-7 liga, dengan berbaki 9 perlawanan untuk ditamatkan.