LOGO baharu yang digunakan Malaysia Pickleball Federation (MPF) kini menjadi tanda tanya dalam komuniti sukan negara apabila reka bentuknya didapati hampir seiras dengan logo Harimau Malaysia yang pernah diperkenalkan FAM pada 2016.
Persoalannya bagaimana sebuah badan yang tidak berdaftar boleh menggunakan logo yang mirip sebuah identiti rasmi bola sepak negara?
Walaupun Malaysia sudah kembali menggunakan nama Harimau Malaya sejak 2017, FAM masih memiliki hak cipta penuh terhadap logo Harimau Malaysia yang dipilih melalui pertandingan terbuka dan diundi peminat pada ketika itu.
Logo berkenaan, rekaan Muhammad Amzar Mohamed, pernah menjadi simbol rasmi pasukan kebangsaan sebelum ia digantikan semula.
Namun kemunculan logo MPF di laman badan serantau Asian Pickleball Association menimbulkan persoalan baharu, adakah ia sekadar ilham yang kebetulan, atau memang adaptasi tanpa kebenaran?

logo MPF di laman badan serantau Asian Pickleball Association
Daripada bentuk kepala harimau hinggalah gaya lengkungan luar, perbezaannya kecil, sekadar menggantikan bulan dan bintang dengan bola pickleball. Perubahan minimal seperti itu cukup untuk menimbulkan persoalan serius mengenai etika dan penggunaan logo berdaftar.
Lebih membingungkan, MPF sendiri belum berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan seperti yang diwajibkan Akta Pembangunan Sukan 1997. Jika pendaftaran pun belum disahkan, bagaimana pula isu penggunaan logo yang menyerupai milik persatuan bola sepak kebangsaan boleh timbul tanpa sebarang kawal selia?
Dalam konteks ini, integriti sukan perlu menjadi keutamaan. Logo pasukan atau persatuan bukan sekadar grafik, ia identiti, sejarah, dan simbol kebanggaan. Mengambil atau meniru secara rapat tanpa kebenaran bukan sahaja mengundang perdebatan, malah memberi gambaran seolah-olah urus tadbir dalam ekosistem sukan tertentu masih longgar dan mudah dipersoal.
Persoalannya sekarang apakah tindakan susulan? Adakah pihak berautoriti akan menyiasat kes persamaan logo ini? Adakah FAM akan membuat tuntutan rasmi untuk mempertahankan hak cipta mereka? Atau MPF akan tampil memberikan penjelasan yang sehingga kini masih belum kedengaran?