Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin muncul penerima pengiktirafan tertinggi pada Anugerah SAM-100PLUS 2025 yang berlangsung di ibu negara, petang tadi.

Tang Jie-Ee Wei dinobatkan sebagai Atlet Terbaik hasil pencapaian cemerlang mereka menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris tahun lalu.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan negara berkenaan menewaskan gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final sekali gus menghadiahkan detik bersejarah buat badminton Malaysia.

Anugerah Atlet Para Terbaik pula menjadi milik Bonnie Bunyau Gustin yang terus mengekalkan dominasi dalam arena powerlifting selepas muncul juara dunia buat kali keempat berturut-turut.

Majlis anugerah anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia itu turut menyaksikan atlet muda negara, Sawda Hasbullah dipilih sebagai Atlet Muda Terbaik.

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia menerima Anugerah Persatuan Dinamik atas usaha memperkukuh pembangunan sukan hoki negara.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pula menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan susulan peranan besar baginda dalam pembangunan ekosistem sukan Johor khususnya menerusi kejayaan Johor Darul Ta’zim.

Dalam kategori media, wartawan Harian Metro, Aida Adilah Mat memenangi kategori Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), manakala Norsyarafina Nasrom dan Mohd Irsyahdi Tumian dari Astro Arena meraih anugerah Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik).

Pengulas sukan popular pula menjadi milik Izwan Mohd Nor dari Astro Arena, sementara Muhammad Rizal Hashim membawa pulang dua pengiktirafan menerusi kategori Laporan Khas Terbaik dan Anugerah Siebel.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 turut menjadi platform menghargai jasa pengamal media sukan tanah air selain meraikan atlet yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Sumber Gambar: FB Datuk Seri Dr Shahidan Kassim