MEMBAWA status bukan pilihan, skuad Piala Uber negara berdepan misi hidup mati menjelang perlawanan pertama menentang Taiwan pada Ahad.

Berada dalam kumpulan B yang turut dianggotai pasukan terkuat, Thailand serta Australia, pasukan wanita yang diketuai kapten, Teoh Mei Xing wajib mendapatkan keputusan mustahil, dengan menewaskan lawan yang diketuai perseorangan nombor 5 dunia, Tai Tzu Ying.

Jurulatih perseorangan wanita, K Yogendran berkata, perlawanan pertama itu amat penting buat skuad Piala Uber.

Jurulatih perseorangan wanita, K Yogendran mahu skuad Piala Uber tampil menentang Taiwan, tanpa sebarang tekanan. |FOTO The Star

“Bagi saya, menentang Taiwan amat genting buat skuad wanita kerana menentang Thailand amat sukar. Mereka mempunyai tiga perseorangan yang kuat berbanding Taiwan hanya Tzu Ying yang terlalu dominan.

“Sukar untuk mendapatkan kemenangan dari Thailand dan pasukan juga wajib menang ke atas Australia,” kata Yogendran.

Begitupun, beliau mengakui semua pemain wanita perlu turun berakti tanpa tekanan kerana pasukan itu adalah skuad masa hadapan.

Teoh Mei Xing dan Goh Jin Wei menjadi pemimpin dalam skuad Piala Uber 2024.

“Dalam pasukan, hanya Goh Jin Wei dan Teoh Mei Xing mempunyai pengalaman luas, lain-lain baru 20-an.

“Ini adalah kejohanan pendedahan buat mereka dan kami mahu melihat bagaimana mereka mengendali tekanan, bagaimana mahu bersaing dalam gelanggang.

“Jadi, kami mahu pemain mengeluarkan corak permainan sebenar, jika menang, ia satu bonus,” kata Yogendran lagi, sambil menegaskan skuad wanita kali ini ada masa depan yang baik.

Menurutnya, skuad Piala Uber berada dalam posisi terbaik dan bebas dari kecederaan.