BIARPUN tidak berada pada tahap kondisi terbaik, pasangan nombor 3 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lega mampu menanganinya di Glaz Arena ketika mereka mara ke suku akhir Terbuka Perancis sebentar tadi.
Sambil mengakui sedang mempelajari kualiti sebagai pemain berkelas dunia, beregu campuran utama negara itu kini sedar, mereka mampu menukar situasi ketika berada pada tahap kritikal.
“Setiap pemain ada kemahiran dan kelebihan sendiri, kami terus pelajari kelebihan dan karektor setiap lawan.
“Hari ini kami berjaya unlock satu lagi pencapaian, iaitu bangkit ketika berada pada kedudukan genting,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Gandingan ranking ketiga dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu segera cergas untuk memburu gelaran di Perancis.
Pasangan negara itu ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan, 22-20, 17-21, 22-20 dalam perlawanan penuh mendebarkan yang berlangsung selama 72 minit.
Mereka akan menentang wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Goh Soon Huat-Shevon Lai turut cemerlang di Glaz Arena.
Sementara itu, beregu campuran berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Lai, tidak berdepan masalah untuk menempah slot suku akhir selepas menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson, 21-13, 21-10.
Pasangan suami isteri itu hanya memerlukan 27 minit untuk menamatkan aksi pusingan kedua, sekali gus mengatur pertemuan seterusnya menentang pilihan China, Feng Yanzhe-Huang Dongping.