HARAPAN Nurul Izzah Izzati Asri dalam acara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 berakhir selepas tewas kepada juara dunia dari New Zealand, Ellesse Andrews, di Velodrom Penalolen, awal pagi tadi.
Pelumba muda berusia 22 tahun itu mengulangi nasib tahun lalu apabila terkandas di pusingan pertama meskipun berjaya melepasi pusingan kelayakan dengan catatan 11.42 saat.

Rekod peribadi terbaiknya kekal 10.578s yang dilakukan di Piala Negara-Negara di Turkiye, Mac lalu.
Menentang Ellesse nyata tugas berat buat Izzah memandangkan lawannya itu juara dunia dan pemenang dua emas Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, Izzah kekal positif dan kini menumpukan perhatian kepada acara keirin Ahad ini bagi menebus kekecewaan di trek Santiago.