TEAM Lee Zii Jia (LZJ) mengesahkan menerima surat daripada peguam bekas jurulatih, Indra Wijaya.
Pengurusnya, Lee Zii Yii berkata, urusan itu diserahkan kepada pasukan mereka.
“Ya saya boleh sahkan peguam kami ada menerima surat, surat saman atau apa saya tidak tahu.
“Kami tidak mahu memanjangkan perkara ini hingga menjadi lebih buruk dan menyerahkannya kepada pasukan perundangan,” kata Zii Yii.
Baru-baru ini, heboh diperkatakan Indra mahu menyaman Zii Jia kerana melanggar kontrak, sebagaimana dilaporkan Timesport.
Indra meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari tahun lalu untuk melatih Zii Jia yang bergerak sebagai pemain profesional, namun digugurkan daripada Team LZJ pada November tahun lalu.
Di bawah kendalian Indra Wijaya, Zii Jia berjaya merangkul gelaran Juara Asia selain menawan Terbuka Thailand dan muncul naib juara Terbuka Denmark.
Prestasi Zii Jia sepanjang 2023 kurang memberangsangkan, namun pemain yang menghuni ranking keempat dunia itu tetap menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memperkuat skuad ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, 14-19 Februari ini.
Sementara itu, Zii Jia berkata, perpisahan dia dan Indra Wijaya berlaku dalam suasana damai.
“Yang saya tahu, kita separate peacefully. Apa boleh saya cakap.. apa yang saya buat mungkin kadangkala sangat salah, kadangkala sangat betul.
“Tapi apa yang sudah diputuskan itu sudah dilakukan so saya tak nak komen terlalu banyak kerana komen terlalu banyak akan terlalu banyak kesilapan,” katanya.