PENYERANG prolifik Speedy Tiger, Azrai Aizad Abu Kamal enggan terlalu yakin menghadapi kempem Piala Negara-Negara FIH 2025, yang akan bermula Ahad ini, namun tidak sabar berdepan New Zealand.

Meskipun menyedari setiap perlawanan kumpulan B, berdepan Pakistan pada perlawanan pertama Ahad ini, dan Jepun pada Rabu, rasa teruja menebal menantikan perlawanan menentang Black Sticks pada Isnin.

“Di Piala Sultan Azlan Shah (2024) sebelum ini saya berjaya jaringkan tiga gol ketika menentang mereka. Harap kali ini boleh ulang balik atau lebih,” katanya penuh semangat.

Azrai Aizad Abu Kamal berazam ulangi kecemerlangan aksi Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu itu, skuad negara membenam cabaran New Zealand 6-4 di peringkat kumpulan, menyaksikan Azrai mencetak tiga jaringan selaim masing-masing satu menerusi Faizal Saari, Azimuddin Kamaruddin dan Muhajir Abdu Rauf.

Namun malangnya pada penentuan tempat ketiga, keempat, Speedy Tiger tunduk 2-3 kepada lawan sama.

Mengulas mengenai persiapan dirinya dan pasukan bagi menghadapi saingan Piala Negara-Negara 15 hingga 21 Jun ini di Stadium Hoki Nasional, penyerang berusia 26 tahun itu yakin mereka menjalani latihan intensif dan menjadikan misi wajib menang pada perlawanan pembukaan menentang Pakistan.

“Saya yakin Pakistan juga boleh ditewaskan berdasarkan kombinasi serangan dan midfield yang semakin mantap,” ujarnya.