IGA Swiatek menyelamatkan dua mata penamat, untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Wimbledon ketika Elina Svitolina muncul pemenang dalam pertembungan panas berunsur politik terhadap Victoria Azarenka.
Pemain nombor satu dunia, Swiatek menewaskan juara Olimpik, Belinda Bencic 6-7 (4/7), 7-6 (7/2), 6-3 di Gelanggang Tengah, bakal berdepan Svitolina dari Ukraine yang bangkit Gelanggang Satu ketika mengatasi lawan dari Belarus, Azarenka 2-6, 6-4, 7-6 (11/9).

Iga Swiatek mara ke suku akhir Wimbledon pertamanya. Pix Agensi
Menambah drama Terbuka Wimbledon kali ini, Novak Djokovic yang mendahului Hubert Hurkacz dengan dua set pada aksi pusingan 16 terkhir, terpaksa menangguhkan kemenangan selepas penganjur bersetuju dengan peraturan perintah berkurung pada waktu malam, bermula jam 11 malam.

Kerana perintah berkurung selepas jam 11 malam, Novak Djokovic terpaksa tangguh kemenangan. Pix Agensi
Justeru, Djokovic yang menang 7-6 (8/6), 7-6 (8/6) ke atas pemain Poland itu, perlu menunggu permainan bersambung hari ini dengan pemenang bakal berdepan Andrey Rublev bagi memburu tiket ke separuh akhir.
Juara bertahan Djokovic mengintai peluang untuk menyamakan rekod lapan kejuaraan di Kelab All England dan takhta ke-24 bagi gelaran Grand Slam.
Sementara itu, Swiatek, penyandang juara Terbuka AS dan Perancis, menyelamatkan dua mata penamat pada permainan ke-12 set kedua sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir Wimbledon buat kali pertama.

Elina Svitolina sebak meraikan kemenangan ke atas Victoria Azarenka dan enggan bersalaman dengan pemain Belarus itu kerana politik perang membabitkan Russia dan Ukraine. -Pix Agensi
Pemenang empat kejuaraan utama Swiatek, 22, berkata, dia berasa mampu beraksi tanpa rasa takut apabila berdepan situasi mendebarkan di ambang penyingkiran.
“Agak mudah kerana anda sedar dia mendahului jadi anda melakukan pukulan tanpa rasa takut kerana anda sedar anda tidak rugi apa-apa.”
Dalam pada itu, Svitolina enggan bersalaman dengan Azarenka kerana memprotes sokongan kerajaan Belarus terhadap Russia dalam peperangan di Ukraine.

Viktoria Azarenka bingung… apabila diejek peminat tenis sepanjang perlawanan dan lawan enggan bersalaman dengannya meskipun berasakan dia tidak melakukan sebarang kesalahan. -Pix Agensi
Ia sudah menjadi satu amalan biasa tetapi ia tidak menghalang peminat daripada mengejek Azarenka.
“Tidak adil dan itulah yang berlaku. Apa yang saya boleh buat? Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi saya tidak boleh mengawal penonton. Saya tidak pasti ramai yang memahami apa yang berlaku,” kata Azarenka.
Svitolina percaya ejekan itu boleh dihalang jika pihak berkuasa tenis mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan pemain Ukraine. -Agensi