PELUMBA Malaysia Pro Cycling (MPC), Zulfikri Zulkifli, memilih mengetepikan seketika pentas berbasikal bukit (MTB) untuk memberi fokus penuh kepada perlumbaan lebuh raya sebagai hala tuju baharu kariernya musim ini.

Pelumba berusia 25 tahun yang mesra disapa Tenney itu berkata peralihan fokus itu dibuat selepas melihat potensinya semakin menyerlah sejak menyertai MPC pada 2024.

“Saya akan lebih fokus kepada perlumbaan lebuh raya musim ini kerana tiada Sukan SEA dan saya mahu ambil peluang untuk tingkatkan prestasi,” katanya.

Tenney mengakui terinspirasi melihat aksi berani Nur Aiman Rosli pada saingan Le Tour de Langkawi tahun lalu yang kerap mencabar kelompok utama menerusi ‘breakaway’.

Zulfikri Zulkifli (kiri) ketika memenangi perak MTB di Sukan SEA Thailand.

“Saya sangat kagum dengan prestasi Aiman di LTdL dan ia beri motivasi kepada saya, kalau dia boleh buat, saya pun mahu cuba capai perkara sama,” katanya.

Tenney akan meneruskan aksi di Tour of Thailand dari 24 hingga 29 Mac ini dengan azam memberi impak sekiranya terpilih dalam senarai akhir pasukan.

Kemampuannya sudah terbukti apabila berada dalam kelompok bersama pemenang peringkat LTdL, Matteo Malucelli, selain beberapa keputusan podium antarabangsa yang menguatkan keyakinannya.

Walaupun reputasinya di MTB termasuk emas berpasukan di Hanoi, Tenney tetap menjadikan juara dunia dan pemenang peringkat Grand Tour Tom Pidcock sebagai inspirasi untuk membuktikan dia mampu berjaya di laluan lasak dan lebuh raya.