PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao, yakin keputusan untuk ‘skip’ beberapa kejohanan menjadi langkah tepat untuk memulihkan keadaan fizikal sebelum mengharungi kempen Eropah bermula minggu hadapan.
Selepas seketika menyepi akibat masalah kesihatan, pemain itu kini bersedia melakukan kebangkitan di Seluruh England di Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.
Jun Hao berkata keputusan tidak beraksi dalam beberapa kejohanan dibuat bersama jurulatih demi memastikan proses pemulihan berjalan sempurna tanpa menjejaskan persiapan.
“Selepas Terbuka India saya fokus sepenuhnya kepada pemulihan dan sekarang latihan berjalan lancar serta keyakinan terhadap kecergasan semakin meningkat,” katanya.

Kali terakhir Leong Jun Hao beraksi di pentas pertandingan, pada Terbuka India, pertengahan Januari lalu.
Musim 2026 sebelum ini belum memihak kepadanya selepas terkandas awal termasuk di Terbuka Malaysia, namun dia percaya pendekatan lebih berhati-hati mampu mengubah momentum.
Kemunculan semulanya dijangka bermula di Terbuka Jerman pada 24 Februari ini menentang pemain Taiwan, Chi Yu Jen, yang dianggap medan ujian terakhir sebelum ke Birmingham.
Kejohanan Seluruh England membawa makna besar buat Malaysia yang kali terakhir menjuarai perseorangan lelaki menerusi Lee Zii Jia pada 2021 selepas menewaskan Viktor Axelsen.
Buat Jun Hao, fokusnya kini hanya satu iaitu memastikan namanya kembali disebut sebagai pencabar serius di Birmingham sambil menunggu perkembangan format baharu Jelajah Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia.