PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) melakar langkah penting dalam usaha membina masa depan bola sepak negara apabila secara rasmi mengambil alih sepenuhnya aspek teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengambilalihan itu disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bakat muda, sekali gus menyediakan laluan yang lebih jelas dan tersusun kepada pemain muda negara bagi mencapai potensi maksimum mereka di peringkat tertinggi.

FAM kini bertanggungjawab terhadap keseluruhan aspek teknikal NFDP termasuk latihan atlet, pengurusan kejurulatihan serta penyertaan kejohanan di semua peringkat pelaksanaan program, selaras dengan peranannya sebagai badan induk bola sepak negara.

Pada masa sama, MSN akan terus menguruskan aspek pentadbiran dan sokongan atlet seperti fasiliti, kewangan, kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama serta pemakanan, selain perkhidmatan perubatan dan sains sukan, bagi memastikan pembangunan pemain berjalan secara holistik.

Menurut FAM, pembahagian peranan yang lebih jelas ini bertujuan memastikan pelaksanaan NFDP menjadi lebih efektif dan profesional, serta selari dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa. “Ia merupakan langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara,” menurut kenyataan rasmi FAM.

FAM turut menyatakan keyakinan bahawa struktur pengurusan baharu ini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat kebangsaan, malah mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.